Thursday 22 September 2016

DAERAH KUANTAN

Kuantan ialah ibu negeri Pahang dan juga sebuah daerah, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia dan ketiga terbesar di Malaysia dengan keluasan lebih kurang 36,000 km². Penduduk Kuantan terdiri daripada 57% orang Melayu, 32% orang Cina, 4% orang India dan 7% kaum-kaum lain. Kuantan terletak berhampiran Sungai Kuantan mengadap ke Laut China Selatan. Pusat pentadbiran negeri Pahang telah berpindah ke Kuantan dari Kuala Lipis sejak dari tahun 1976.
Kuantan adalah sebuah bandar besar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, di kedudukan 3° 50' Utara, 103° 20' Timur (ini adalah lokasi sebelum kejadian gempa bumi dan tsunami 26 Disember 2004, yang dikatakan telah menganjakkan Semenanjung Malaysia beberapa sentimeter dari kedudukan asal). Ia merupakan ibu negeri Pahang, di dalam negara Malaysia. Jumlah penduduk di daerah Kuantan adalah sekitar 607,778 orang.
Berkedudukan di pesisir Laut China Selatan dan di tebing Sungai Kuantan berdekatan kualanya, Kuantan yang masyhur dengan pantai-pantainya dan Masjid Sultan Ahmad Shah sebagai ikon di tengah-tengah bandar adalah pintu masuk ke Pantai Timur bagi mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur dan selatan Semenanjung.

Kuantan dipercayai telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke-19 adalah bermula sebagai petempatan. Hal kewujudan Kuantan ini telah pun disentuh oleh Abdullah Abdul Kadir Munshi pada tahun 1851/2 seperti berikut:
"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada dan; maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari...."

Pada abad ke-19, pendatang dari Sumatera (Indonesia) dipercayai telah membuka penempatan di tebing Sungai Kuantan, khususnya di sekitar Teruntum yang terletak berdekatan Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari ini. Terdapat beberapa teori mengenai asal nama "Kuantan". Ada yang mengatakan nama tersebut mempunyai kaitan dengan tempat asal pendatang dari Sumatera itu, yakni Kampung Kuantan. Terdapat juga satu tempat bernama Kuala Kuantan di negeri Selangor. Ada pula yang mengatakan nama bandar ada hubungan dengan bangsa China, kerana bunyinya yang sedemikian rupa.
Walau apa pun, suatu tempat bernama Kuantan telah wujud sebelum tercetusnya Perang Saudara Pahang pada tahun 1858, tatkala dua beradik, Wan Ahmad dan Wan Mutahir menentang satu sama lain untuk menguasai negeri tersebut setelah bapa mereka, Bendahara Ali, iaitu pemerintah Pahang, meninggal dunia. Pertelingkahan bermula apabila Wan Mutahir, yang menggantikan Ali sebagai Bendahara, telah menidakkan wasiat Ali yang menyatakan Wan Ahmad akan memerintah dua daerah - Kuantan, dan juga Endau (pada masa itu sebuah daerah dalam negeri Pahang; pada hari ini ia di dalam negeri Johor).
Perang saudara itu tamat pada tahun 1863 (walaupun pertelingkahan dalaman antara para pembesar yang telah berpecah-belah berterusan dalam dekad-dekad berikutnya), dengan Wan Ahmad mencapai kejayaan dan menjadi Bendahara Pahang yang baru. Beliau kemudiannya menaikkan taraf diri beliau sebagai Sultan Pahang, justeru mengasaskan susur-galur Sultan-sultan dan kerabat diraja yang sedang memayungi negeri. Pada waktu itu, cukai yang dikutip dari lembah Sungai Kuantan menjadi pendapatan utama pemerintah Pahang, justeru ia berkepentingan dari segi ekonomi negeri.
Kerajaan British mula mencerobohi pentadbiran negeri-negeri Melayu di sekitar permulaan Perang Saudara Pahang. Pada tahun 1888, British mengambil alih pentadbiran negeri Pahang. Kuantan mula diberikan perhatian sebagai pusat perdagangan, khususnya berkaitan aktiviti perlombongan bijih timah di pekan Sungai Lembing dan Gambangberdekatan. Pada masa itu, para peniaga berbangsa Cina mendominasi suasana perniagaan dan perdagangan di Kuantan.
Pada 30 Disember 1942, Kuantan telah jatuh ke tangan askar Jepun yang menyerang Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. Pusat bandar lama iaitu di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar masih menempatkan binaan-binaan era sebelum Perang Dunia Kedua, sementara kubu kecil yang dibina dalam menghadapi ancaman Jepun boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuantan.
Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang yang asalnya di Kuala Lipis sepanjang era residensi British telah dipindahkan ke Kuantan, dan kepentingan bandar ini dari segi pentadbiran semakin meningkat. Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (Malaysia terbentuk sebagai satu persekutuan dalam tahun 1963), Kuantan terus berkembang sebagai pusat komersial dan perusahaan yang penting. Kerajaan negeri dan Persekutuan membangunkan Kuantan dengan memberikan tumpuan kepada sektor pentadbiran, industri, pertanian dan pelancongan.

Oleh sebab Kuantan merupakan sebuah bandar yang "muda" secara relatifnya, ia tidak memiliki banyak budaya tradisi tempatan yang unik, melainkan yang dibawa oleh mereka yang berasal dari luar dan menetap di Kuantan, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan. Oleh sebab itu, amat mudah untuk mendengar orang ramai di Kuantan bercakap dalam loghat Terengganu dan Kelantan, sementara makanan tradisional dan kegemaran dari kedua-dua negeri itu juga popular di sini. Jauh sedikit dari bandar Kuantan sendiri, iaitu ke arah barat dan selatan, barulah budaya tradisi Pahang dapat diperhatikan sedikit demi sedikit.
Bandar Kuantan
Hotel Zenith yang terletak di tengah bandar Kuantan

 
Kedudukan bandar yang berhampiran sungai dan laut


Masjid besar Kuantan - Pemandangan semasa waktu berbuka puasa di bulan Ramadhan



Tempat Bersejarah


Lombong Bijih Timah Sungai Lembing yang merupakan lombong bijih timah bawah tanah yang terpanjang di dunia.



Muzium Sungai Lembing yang menempatkan sejaran perlombongan bijih timah.


Tempat Peranginan

Air Terjun Panching, Sungai Pandan


Bukit Panorama,Sungai Lembing


Pantai Cherating


Pantai Teluk Chempedak



Gambang Waterpark - Taman Tema Air terbesar dan pertama di Pantai Timur malaysia




Safari Park Gambang - Menempatkan pelbagai hidupan liar yang sukar ditemui seperti zirafah, kuda belang dan pelbagai lagi.








No comments:

Post a Comment