Thursday 22 September 2016

DAERAH RAUB

Kawasan yang bernama "Raub" di hulu pahang adalah salah satu daripada tempat di pahang yang kaya dengan bijih timah dan bijih emas sejak zaman dahulu lagi.Daerah Raub dahulunya tidak terdiri sendiri tetapi adalah sebahagian jajahan Lipis atau Hulu Pahang yang luas dan subur.

Berdasarkan cerita orang tua-tua dahulu asal-usul nama daerah istimewa ini berpunca daripada perbuatan orang Melayu yang "meraub" atau mengaut emas dari tebing sungai dengan begitu mudah sekali dengan hanya menggunakan tangan kosong kerana banyaknya kandungan emas yang terbenam di bumi Raub.Ketika itu salah satu tapak yang mengandungi banyak sekali emas ialah di kawasan padang di kaki bukit Rumah Rehat Raub yang dahulunya kawasan berair dan menjadi laluan angkatan bergajah para peniaga dari Hulu Pahang menuju ke Kuala Kubu,Selangor.Namun tidak begitu jelas bilakah sebenarnya nama Raub itu wujud secara rasmi.

Sebilangan orang tua-tua menyebut bahawa nama raub mula dikenali setelah Raja Impeh bin Raja Abdullah dan abangnya Raja Ismail bin Raja Abdullah datang dari Selangor membuka lombong emas secara giat di sekitar kawasan bandar Raub dan Sempam seperti yang ada hari ini.


Ada satu pendapat terpencil yang menganggap asal nama daerah raub itu sebenarnya berpunca daripada nama suku “RAO”(digelar “rawa” oleh orang Semenanjung)yang begitu ramai sekali mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit hinggakan daerah raub terkenal sebagai “lubuk orang Rao” di negeri Pahang.

Dengan peredaran masa,cara percakapan yang telah bercampur-baur dengan cara pertuturan orang Melayu Pahang akhirnya “Rao” itu berubah menjadi “Raub” dan daerah itu pun teruslah diberi nama “Daerah Raub” iaitu daerah yang paling ramai dihuni oleh suku Rao yang asalnya dari Sumatera Barat.


Bukanlah suatu kebetulan barangkali apabila dibuat perbandingan bahawa daerah asal orang Rao itu ialah Sumatera Barat ,dan apabila tiba di Pahang mereka berkampung halaman pula di daerah Raub yang letaknya dalam kawasan Pahang Barat.Malah rupa buminya dengan bukit bukau dan tanah lembah untuk dibuat sawah padi dialiri oleh sungai saling tak tumpah dengan bentuk bumi tanah kelahiran suku Rao di Sumatera Barat.


Galeri Sekitar Raub

Taman Tasik Raub


Air Terjun Lata Jarum



Gua Khehil



Gunung Palas




Tanah Aina



No comments:

Post a Comment