Thursday 22 September 2016

DAERAH CAMERON HIGLAND

Dalam tahun 1885, seorang Jurukur Kerajaan, William Cameron telah menjalankan satu ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa dan telah melaporkan bahawa beliau telah menemui satu daratan tinggi yang bercerun. Gunung-gunung yang melindungi dataran ini kelihatan rendah jika diukur daripada paras ketinggian dataran yang dijangkakan iaitu ketinggian antara 1372.5 meter [4500 kaki] hingga 1403 meter [4600 kaki] dari aras laut. Walaubagaimanapun, beliau tidak mencatatkan di dalam pelan kedudukan sebenar dataran tinggi tersebut tetapi arah laluan ekpedisi beliau menghala ke hulu Sungai Raja yang bersebelahan dengan Negeri Perak. 

Dalam peta-peta selanjutnya, dataran tinggi ini dicatatkan pada kedudukan yang berlainan. Hakikat ini jelas menunjukkan kerja-kerja dan catatan yang beliau hasilkan hanyalah merupakan satu jangkaan sahaja. Sungguhpun pada ketika itu beliau tidak dapat memastikan kedudukan tanah dataran tinggi yang dimaksudkan itu dengan tepat, tetapi adalah diakui bahawa beliaulah orang yang pertama menyerlahkan kawasan ini dalam sejarah.

Selanjutnya beliau telah mengadakan satu ekspedisi penjelajahan di kawasan ini mulai bulan Februari 1885 dan berakhir pada 1 September pada tahun yang sama.  Dengan itu, kawasan tanah tinggi ini dinamakan sebagai Tanah Tinggi Cameron atau CAMERON HIGHLANDS bagi mengenang jasa dan kerja-kerja penerokaan oleh William Cameron dan pasukan ekspedisinya. Pada asalnya, Nama "Hill Station" buat pertama kali telah disebut dalam satu minit mesyuarat oleh Residen Negeri Perak pada tahun 1888.

Beliau telah memberikan pandangan mungkin sebuah sanatorium boleh didapati di Cameron Highlands di mana tempat-tempat peranginan, rumah-rumah istirehat, taman-taman dan kawasan-kawasan pertanian boleh diusahakan. Dalam tahun 1886 anggaran peruntukan wang sebanyak RM 20,000.00 telah diberikan untuk membaiki dan memanjangkan lagi sebuah lorong sempit menghala ke Cameron Highlands. Seterusnya pada tahun 1902 peruntukan telah diberikan untuk memanjangkan lagi jalan tersebut hingga panjang keseluruhan lorong tersebut mencecah 34 batu. Perbincangan mengenai "Hill Station" ini masih berterusan sebagaimana yang diminitkan oleh Pesuruhjaya Tinggi,seperti berikut

"..... sebelum sebarang tanah diberikan di Highlands, Pengarah Kerja Raya hendaklah memilih tanah rizab Kerajaan, mencukupi untuk kegunaan-kegunaan akan datang ."

 Kerja-kerja mengukur telah dijalankan pada tahun 1904 dan hasilnya ialah satu kesimpulan dibuat mengatakan Lubuk Tamang, sekarang adalah tasik sebagai kawasan tanah dataran yang dimaksudkan. Walaubagaimanapun, ketinggian kawasan ini ialah 3,000 kaki dan jelaslah yang ia bukanlah tanah dataran yang dimaksudkan oleh William Cameron dan tiada tindakan-tindakan selanjutnya terhadap perkara ini.  Hanya pada tahun 1920 barulah berlaku perkembangan terbaru apabila  Pengarah Muzium Negeri Pahang telah mengetuai satu ekspedisi dan telah membuat laporan mengenai geologi, pertanian dan kesihatan di kawasan ini.

 Sebuah peta lakar buat kali pertamanya telah dilukis oleh Jurutera Negeri dan berdasarkan kepada pengamatannya, Cameron Highlands asal terletak di kawasan Tanah Rata dan Brinchang yang ada sekarang ini. Seterusnya pada tahun 1925, Sir George Maxwell telah membuat lawatan dan ketetapan untuk membangunkan kawasan ini sebagai sebuah "Hill Station". Sebuah Jawatankuasa Pembangunan telah dibentuk dan telah memulakan persidangannya pada 18 Mei 1926.

Jawatankuasa ini berfungsi sehingga bulan November 1931. Dalam tempoh masa ini jalanraya telah dibina dan pembahagian zon telah dibuat di daerah ini sebagai kawasan rizab Jabatan Pertanian, kawasan bandar, tempat kediaman, pusat perkhidmatan, Taman Negara, kawasan pentadbiran dan juga tempat rekreasi. Syarat-syarat pemberian tanah juga telah dibuat dan syarikat-syarikat telah membuat permohonan tanah. Jawatankuasa Pembangunan Cameron Highlands telah menamatkan tugasnya pada akhir tahun 1931 dan bermula dari tarikh tersebut daerah ini telah ditadbirkan sebagaimana yang dilakukan seperti daerah-daerah lain di Negeri Pahang. 

Malahan, mulai 1 Julai 1931, seorang Penolong Pegawai Daerah Inggeris telah ditempatkan di sini di bawah pengawasan Pegawai Daerah Lipis. Dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa daerah Cameron Highlands telah diwujudkan pada 01 Julai 1931 dengan keluasan 71,218,000 meter persegi bersamaan 71,218 hektar [175,973 ekar].Pada 14 Ogos 1931, sebuah kawasan di Mukim Tanah Rata telah diisytiharkan sebagai Kawasan Lembaga Kesihatan.

Dalam tempoh masa yang sama sebuah kawasan di Ringlet telah turut diisytiharkan tertakluk kepada seksyen-seksyen yang berkaitan dalam Enakmen Lembaga Kesihatan. Lembaga Kesihatan ini terdiri daripada lima orang ahli rasmi dan empat orang ahli tidak rasmi yang dilantik untuk mentadbirkan kawasan-kawasan tersebut yang berkuatkuasa sejak diisytiharkan sebagai Kawasan-Kawasan Lembaga Kesihatan.   Kerajaan telah membina jalan-jalan batu sejauh 18.63 batu, 13.79 batu jalan yang tidak berbatu dan 90.13 batu  lorong di Cameron Highlands.

Satu geran yang dianggarkan berjumlah 5,000 ekar tanah telah diberikan kepada Kompeni Boh di lembah Sungai Boh pada tahun 1929. Stesen-Stesen Percubaan Kerajaan telah dibuka oleh Jabatan Pertanian, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada awal tahun 1926. Sebuah kilang teh yang kecil telah dibina pada tahun 1931. Purata suhu yang direkodkan di Cameron Highlands ialah 70 F dan purata suhu minima ialah 56 F. Purata suhu bulanan di peringkat maksima dan minima hanya berbeza lebih kurang 4 F tetapi suhu maksima yang paling tinggi direkodkan ialah dalam bulan Mei dan suhu minima yang paling rendah ialah dalan bulan Januari dan Februari. Suhu paling rendah yang direkodkan ialah 42 F.


Peperangan Dunia Kedua dan disusuli pula dengan penaklukan Jepun serta perisytiharan darurat telah membantutkan proses pembangunan di Cameron Highlands.  Namun demikian setelah darurat tamat, "Hill Station" telah membangun semula dan menjadi tempat pelancongan yang kian popular bukan sahaja bagi penduduk-penduduk tempatan bahkan kepada pelancong-pelancong luar negeri. 

Galeri Sekitar Cameron Higland

Ladang Teh



Ladang Strawberri





Pemandangan Hotel dan Chalet




Ladang Bunga




DAERAH KUALA LIPIS

Kuala lipis terletak di kuala dua batang sungai iaitu Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Ada dua cerita bagaimana Bandar ini mendapat namanya.

Cerita pertama mengatakan bahawa nama Kuala Lipis berasal dari sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak terdapat di situ pada masa dahulu. Tumbuhan tersebut ialah serau lipis yang merupakan tumbuhan memanjat dan berbunga putih.

Menurut cerita kedua, nama Kuala Lipis berasal daripada perkataan ‘lepas’. Dahulu, sungai adalah alat perhubungan yang terpenting bagi masyarakat Melayu. Sungai Lipis dan Sungai Jelai membolehkan penduduk kampong di sepanjang sungai tersebut ‘lepas’ ke sana ke mari. Maksudnya, mereka bebas untuk ke mana-mana.

Jadi, apabila mereka berhajat untuk pergi ke bandar, mereka berkata; ‘Keh nok ke Kolepas (Kuala Lepas)’. Namun lama-kelamaan perkataan ‘lepas’ itu bertukar menjadi ‘lipis’ dan bandar itu pun dikenali sebagai Kuala Lipis atau Kolepih mengikut loghat orang-orang Kuala Lipis.

Kuala Lipis menggantikan Pekan sebagai ibu negeri Pahang pada Jun 1898. Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang berpindah pula ke Kuantan. Bangunan Kelab Pahang (Pahang Club) merupakan bangunan kerajaan yang pertama di Kuala Lipis. Bangunan ini asalnya ialah rumah residen Pahang pada masa itu, Sir Hugh Clifford.

Istana Hinggap yang pertama dibina pada tahun 1926 pernah dijadikan kediaman pegawai British, kemudian menjadi kediaman Menteri Besar Pahang pertama, Datuk Sir mahmud Mat dan penggantinya, tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Mohd Almarhum Sultan Zainal Abidin III.

Pada 20 April 1954, berlangsung pula di situ upacara perkahwinan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan Tengku Afzan Tengku Muhammad.


Di Kuala Lipis juga terdapat sekolah menengah yang tertua di Pahang iaitu Government English School (Sekolah Inggeris kerajaan). Sekolah ini asalnya sebuah rumah kayu beratap nipah dengan bilangan muridnya seramai dua belas orang. Pada tahun 1919, sekolah ini mendapat bangunan baru. Perasmian sekolah ini dilakukan pada 1929 oleh residen Inggeris pada waktu itu, Sir Hugh Clifford.

Galeri Sekitar Kuala Lipis

Batu Bertanda '0' di tengah bandar Kuala Lipis



Gua Bama



 Hutan Lipur Terenggun



Pahang Club House



Muzium Warisan Lipis



Tasik Empangan Jeleh

DAERAH BERA

Daerah Bera diwujudkan pada 01 Februari 1992, daerah ini berkeluasan 2228 KmP (222,800 Hektar). Asalnya daerah ini adalah sebahagian dari daerah Temerloh yang dianggap bermasalah dengan penerokaan tanah haram. Kini Bera telah menjadi daerah yang penting di dalam sektor pertanian, sektor yang menguasai 51% gunatanah daerah (115,000 Hektar) Sawit adalah tanaman terbesar, yang juga sumber ekonomi utama penduduk . 

Daerah ini dinama dengan mengambil sempena nama tasek, iaitu Tasek Bera. Selain itu, nama “Bera” diperolehi melalui sumber masyarakat Orang Asli Semelai, iaitu berasal dari nama “Reba” sejenis rumpai air. Kabarnya ada satu pokok tua ganjil yang tinggi dan luarbiasa besarnya, cukup besar sehingga bilamana ia tumbang, bahana besar dan impek beratnya menyebabkan ia terbenam dalam ke bumi dan membentuk tasek. Dari batang, dahan dan ranting yang terbenam itu, maka tumbuhlah reba dengan banyaknya. 

Daerah Bera juga merupakan pengeluar terbesar ayam Negeri Pahang ( 1.8 juta ekor), di samping ternakan lembu ( 80 ribu ekor ) dan puyuh yang diberi tumpuan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). 

Versi kedua dari YM Datuk Tengku Alaudin Tengku Majid manten Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia, budayawan asal Chenor yang mengumpul cerita rakyat dan sastera lisan. Bera menurut beliau berasal dari perkataan “bercempera” yang bermakna orang ramai yang lari bertempiaran kerana negeri dan perkampungan mereka ditenggelami air dan menjadi tasek.


Galeri Sekitar Bera



Tasik Bera-Tasik semulajadi yang terbesar di Malaysia

DAERAH RAUB

Kawasan yang bernama "Raub" di hulu pahang adalah salah satu daripada tempat di pahang yang kaya dengan bijih timah dan bijih emas sejak zaman dahulu lagi.Daerah Raub dahulunya tidak terdiri sendiri tetapi adalah sebahagian jajahan Lipis atau Hulu Pahang yang luas dan subur.

Berdasarkan cerita orang tua-tua dahulu asal-usul nama daerah istimewa ini berpunca daripada perbuatan orang Melayu yang "meraub" atau mengaut emas dari tebing sungai dengan begitu mudah sekali dengan hanya menggunakan tangan kosong kerana banyaknya kandungan emas yang terbenam di bumi Raub.Ketika itu salah satu tapak yang mengandungi banyak sekali emas ialah di kawasan padang di kaki bukit Rumah Rehat Raub yang dahulunya kawasan berair dan menjadi laluan angkatan bergajah para peniaga dari Hulu Pahang menuju ke Kuala Kubu,Selangor.Namun tidak begitu jelas bilakah sebenarnya nama Raub itu wujud secara rasmi.

Sebilangan orang tua-tua menyebut bahawa nama raub mula dikenali setelah Raja Impeh bin Raja Abdullah dan abangnya Raja Ismail bin Raja Abdullah datang dari Selangor membuka lombong emas secara giat di sekitar kawasan bandar Raub dan Sempam seperti yang ada hari ini.


Ada satu pendapat terpencil yang menganggap asal nama daerah raub itu sebenarnya berpunca daripada nama suku “RAO”(digelar “rawa” oleh orang Semenanjung)yang begitu ramai sekali mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit hinggakan daerah raub terkenal sebagai “lubuk orang Rao” di negeri Pahang.

Dengan peredaran masa,cara percakapan yang telah bercampur-baur dengan cara pertuturan orang Melayu Pahang akhirnya “Rao” itu berubah menjadi “Raub” dan daerah itu pun teruslah diberi nama “Daerah Raub” iaitu daerah yang paling ramai dihuni oleh suku Rao yang asalnya dari Sumatera Barat.


Bukanlah suatu kebetulan barangkali apabila dibuat perbandingan bahawa daerah asal orang Rao itu ialah Sumatera Barat ,dan apabila tiba di Pahang mereka berkampung halaman pula di daerah Raub yang letaknya dalam kawasan Pahang Barat.Malah rupa buminya dengan bukit bukau dan tanah lembah untuk dibuat sawah padi dialiri oleh sungai saling tak tumpah dengan bentuk bumi tanah kelahiran suku Rao di Sumatera Barat.


Galeri Sekitar Raub

Taman Tasik Raub


Air Terjun Lata Jarum



Gua Khehil



Gunung Palas




Tanah Aina



DAERAH MARAN

Daerah Maran adalah merupakan Daerah ke 10 daripada 11 Daerah di dalam Negeri Pahang Darul Makmur. Pengisytiharan pengujudan Daerah Maran telah dibuat melalui Watikah Perisytiharan Daerah Maran yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang Jd. 34 Bil.14 pada 13 Mei 1981.Sebelum pengisytiharan itu Daerah Maran terletak sebahagian daripada Daerah Temerloh dan sebahagian lagi Daerah Pekan. Pejabat Daerah Dan Tanah Maran pula ditubuhkan pada 23 Mei 1981 dengan Pegawai Daerah yang pertama ialah En. Ariffin bin Yusoff @ Yusoh. Keluasan Daerah Maran ialah 1917 kilometer persegi. Maran mempunyai hasil pertanian, perternakan, dan macam-macam lagi untuk kemudahan penduduknya.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Maran ialah Sungai Berkelah dan Lubuk Yu. Antara pekan-pekan kecil yang terdapat di dalam daerah Maran adalah Pekan Tajau, Pekan Awah, Pekan Chenor dan Pekan Sungai Jerik yang juga digelar Tong Kiat. Bandar Jengka yang menjadi nadi kepada masyarakat Jengka juga terletak dalam daerah Maran ini.

Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit. Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).

Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai 'Maran' atau 'Sahabat' serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan menyusur sungai inilah orang asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran.


Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.

Galeri Sekitar Maran

Air Terjun Lubuk Yu


The Golden Tample OF Marathandavar 




DAERAH JERANTUT

Jerantut merupakan sebuah pekan di Pahang , Malaysia. Ia terletak kira-kira 200 km dari Kuala Lumpur dan 180 km dari Kuantan. Jerantut juga memiliki nama yang sama bagi daerahnya. Keluasan keseluruhan Jerantut ini adalah 7,563.46 km persegi dan merupakan daerah yang terbesar dalam Negeri Pahang.

Nama Jerantut telah disebut dan digunapakai semenjak zaman dahulu kala iaitu pada masa sebelum pemerintahan Sultan Ahmad (Wan Ahmad) Sultan Pahang yang pertama. Sultan Ahmad menaiki takhta memerintah Negeri Pahang selepas selesai perang saudara di antara Wan Ahmad dengan Tun Mutahir di Pulau Tawar. Wan Ahmad mengatur strategi dan menyerang Pekan dengan bantuan padu dan tenaga yang banyak dan kuat untuk menawan Pulau Tawar dari dikuasai Tun Mutahir, apabila mendapat sokongan besar orang-orang besar kawasan dan ketua-ketua penduduk tempatan dari berbagai puak dan lapisan yang setia kepadanya dari semua kawasan sebelah Ulu Pahang, iaitu dari kawasan Temerloh dan Semantan yang diketuai oleh Pahlawan Dato' Bahaman, dari kawasan Lipis, Jelai dan Semantan Ulu Raub diketuai Dato’ Raja Jelai Wan Mahmud dan dari kawasan Jerantut dan sekitarnya diketuai oleh Dato’ Gajah Iman Rasu Abdul Salam atau Tok Gajah.

Berdasarkan cerita orang tua-tua bahawa asal usul perkataan "Jerantut" adalah berasal dari perkataan "Jeram" dan "Tut" yang diambil daripada nama orang "Awang Tut" yang sering mengail di kawasan jeram di tengah-tengah Sungai Pahang. Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" Pekan ini dipanggil "Simpang Empat" iaitu satu tempat dimana Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalanraya dari Kuala Lipis ke Kuantan. Mulai tahun 1914 nama "Simpang 4" ditukar kepada "Jerantut".

Daerah Jerantut merupakan daerah yang terbesar dalam Negeri Pahang Darul Makmur. Keluasannya ialah 2,900 batu persegi (755,771.93 Hektar). Disempadani oleh Negeri Kelantan dan Terengganu di Utara, Daerah Temerloh dan Maran di Selatan, Daerah Lipis dan Raub di Barat dan Daerah Kuantan dan Negeri Terengganu di Timur. Ia mempunyai 10 buah mukim yang terdiri daripada 295 buah kampung yang ditadbirkan di bawah 58 JKKK. Sebahagian daripada kawasan-kawasan FELDA dan Kampung Tradisional adalah termasuk dalam kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) iaitu kawasan-kawasan seberang Sungai Pahang dan Sungai Tembeling (daripada sempadan Temerloh/Mukim Burau hingga ke Kg. Merting di Mukim Tembeling).


Galeri Sekitar Jerantut

Taman Negara
              
Gua Kota Gelanggi



 Gunung Tahan



Air Terjun



Kenong Rimba Park



DAERAH BENTONG

Bentong merupakan salah satu daerah dalam Pahang. Daerah ini merangkumi kawasan seluas 1,831 km². Kedudukannya ke arah timur laut Kuala Lumpur, di sebelah bertentangan Banjaran Titiwangsa. Terletak bersebelahan dengan Daerah Gombak, Selangor, Bentong merupakan bandar yang semakin pesat membangun.Jalan Bentong merupakan laluan utama ke Pantai Timur iaitu Kelantan. Bentong akan mempunyai komuter yang akan memhubungkannya dengan Kuala Lumpur. 

Di Bentong terdapat kawasan terkenal seperti Genting Highland danBukit Tinggi. Sejarah nama Bentong adalah daripada "banyak untung" kerana pada masa dahulu Bentong mempunyai lombong bijih timah. Ayat tersebut dikatakan oleh orang Cina yang melombong, sehingga akhirnya ia menjadi "Bentong".

Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut. Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung” (ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung” menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung” bertukar menjadi Bentong.

Galeri Sekitar Bentong





Genting Highland - Taman Tema terbesar di Malaysia dan terkenal di Asia Tenggara



Bukit Tinggi



Fraser Hill



Air Terjun Chamang


Janda Baik