Thursday, 22 September 2016

DAERAH BERA

Daerah Bera diwujudkan pada 01 Februari 1992, daerah ini berkeluasan 2228 KmP (222,800 Hektar). Asalnya daerah ini adalah sebahagian dari daerah Temerloh yang dianggap bermasalah dengan penerokaan tanah haram. Kini Bera telah menjadi daerah yang penting di dalam sektor pertanian, sektor yang menguasai 51% gunatanah daerah (115,000 Hektar) Sawit adalah tanaman terbesar, yang juga sumber ekonomi utama penduduk . 

Daerah ini dinama dengan mengambil sempena nama tasek, iaitu Tasek Bera. Selain itu, nama “Bera” diperolehi melalui sumber masyarakat Orang Asli Semelai, iaitu berasal dari nama “Reba” sejenis rumpai air. Kabarnya ada satu pokok tua ganjil yang tinggi dan luarbiasa besarnya, cukup besar sehingga bilamana ia tumbang, bahana besar dan impek beratnya menyebabkan ia terbenam dalam ke bumi dan membentuk tasek. Dari batang, dahan dan ranting yang terbenam itu, maka tumbuhlah reba dengan banyaknya. 

Daerah Bera juga merupakan pengeluar terbesar ayam Negeri Pahang ( 1.8 juta ekor), di samping ternakan lembu ( 80 ribu ekor ) dan puyuh yang diberi tumpuan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). 

Versi kedua dari YM Datuk Tengku Alaudin Tengku Majid manten Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia, budayawan asal Chenor yang mengumpul cerita rakyat dan sastera lisan. Bera menurut beliau berasal dari perkataan “bercempera” yang bermakna orang ramai yang lari bertempiaran kerana negeri dan perkampungan mereka ditenggelami air dan menjadi tasek.


Galeri Sekitar Bera



Tasik Bera-Tasik semulajadi yang terbesar di Malaysia

DAERAH RAUB

Kawasan yang bernama "Raub" di hulu pahang adalah salah satu daripada tempat di pahang yang kaya dengan bijih timah dan bijih emas sejak zaman dahulu lagi.Daerah Raub dahulunya tidak terdiri sendiri tetapi adalah sebahagian jajahan Lipis atau Hulu Pahang yang luas dan subur.

Berdasarkan cerita orang tua-tua dahulu asal-usul nama daerah istimewa ini berpunca daripada perbuatan orang Melayu yang "meraub" atau mengaut emas dari tebing sungai dengan begitu mudah sekali dengan hanya menggunakan tangan kosong kerana banyaknya kandungan emas yang terbenam di bumi Raub.Ketika itu salah satu tapak yang mengandungi banyak sekali emas ialah di kawasan padang di kaki bukit Rumah Rehat Raub yang dahulunya kawasan berair dan menjadi laluan angkatan bergajah para peniaga dari Hulu Pahang menuju ke Kuala Kubu,Selangor.Namun tidak begitu jelas bilakah sebenarnya nama Raub itu wujud secara rasmi.

Sebilangan orang tua-tua menyebut bahawa nama raub mula dikenali setelah Raja Impeh bin Raja Abdullah dan abangnya Raja Ismail bin Raja Abdullah datang dari Selangor membuka lombong emas secara giat di sekitar kawasan bandar Raub dan Sempam seperti yang ada hari ini.


Ada satu pendapat terpencil yang menganggap asal nama daerah raub itu sebenarnya berpunca daripada nama suku “RAO”(digelar “rawa” oleh orang Semenanjung)yang begitu ramai sekali mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit hinggakan daerah raub terkenal sebagai “lubuk orang Rao” di negeri Pahang.

Dengan peredaran masa,cara percakapan yang telah bercampur-baur dengan cara pertuturan orang Melayu Pahang akhirnya “Rao” itu berubah menjadi “Raub” dan daerah itu pun teruslah diberi nama “Daerah Raub” iaitu daerah yang paling ramai dihuni oleh suku Rao yang asalnya dari Sumatera Barat.


Bukanlah suatu kebetulan barangkali apabila dibuat perbandingan bahawa daerah asal orang Rao itu ialah Sumatera Barat ,dan apabila tiba di Pahang mereka berkampung halaman pula di daerah Raub yang letaknya dalam kawasan Pahang Barat.Malah rupa buminya dengan bukit bukau dan tanah lembah untuk dibuat sawah padi dialiri oleh sungai saling tak tumpah dengan bentuk bumi tanah kelahiran suku Rao di Sumatera Barat.


Galeri Sekitar Raub

Taman Tasik Raub


Air Terjun Lata Jarum



Gua Khehil



Gunung Palas




Tanah Aina



DAERAH MARAN

Daerah Maran adalah merupakan Daerah ke 10 daripada 11 Daerah di dalam Negeri Pahang Darul Makmur. Pengisytiharan pengujudan Daerah Maran telah dibuat melalui Watikah Perisytiharan Daerah Maran yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang Jd. 34 Bil.14 pada 13 Mei 1981.Sebelum pengisytiharan itu Daerah Maran terletak sebahagian daripada Daerah Temerloh dan sebahagian lagi Daerah Pekan. Pejabat Daerah Dan Tanah Maran pula ditubuhkan pada 23 Mei 1981 dengan Pegawai Daerah yang pertama ialah En. Ariffin bin Yusoff @ Yusoh. Keluasan Daerah Maran ialah 1917 kilometer persegi. Maran mempunyai hasil pertanian, perternakan, dan macam-macam lagi untuk kemudahan penduduknya.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Maran ialah Sungai Berkelah dan Lubuk Yu. Antara pekan-pekan kecil yang terdapat di dalam daerah Maran adalah Pekan Tajau, Pekan Awah, Pekan Chenor dan Pekan Sungai Jerik yang juga digelar Tong Kiat. Bandar Jengka yang menjadi nadi kepada masyarakat Jengka juga terletak dalam daerah Maran ini.

Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit. Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).

Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai 'Maran' atau 'Sahabat' serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan menyusur sungai inilah orang asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran.


Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.

Galeri Sekitar Maran

Air Terjun Lubuk Yu


The Golden Tample OF Marathandavar 




DAERAH JERANTUT

Jerantut merupakan sebuah pekan di Pahang , Malaysia. Ia terletak kira-kira 200 km dari Kuala Lumpur dan 180 km dari Kuantan. Jerantut juga memiliki nama yang sama bagi daerahnya. Keluasan keseluruhan Jerantut ini adalah 7,563.46 km persegi dan merupakan daerah yang terbesar dalam Negeri Pahang.

Nama Jerantut telah disebut dan digunapakai semenjak zaman dahulu kala iaitu pada masa sebelum pemerintahan Sultan Ahmad (Wan Ahmad) Sultan Pahang yang pertama. Sultan Ahmad menaiki takhta memerintah Negeri Pahang selepas selesai perang saudara di antara Wan Ahmad dengan Tun Mutahir di Pulau Tawar. Wan Ahmad mengatur strategi dan menyerang Pekan dengan bantuan padu dan tenaga yang banyak dan kuat untuk menawan Pulau Tawar dari dikuasai Tun Mutahir, apabila mendapat sokongan besar orang-orang besar kawasan dan ketua-ketua penduduk tempatan dari berbagai puak dan lapisan yang setia kepadanya dari semua kawasan sebelah Ulu Pahang, iaitu dari kawasan Temerloh dan Semantan yang diketuai oleh Pahlawan Dato' Bahaman, dari kawasan Lipis, Jelai dan Semantan Ulu Raub diketuai Dato’ Raja Jelai Wan Mahmud dan dari kawasan Jerantut dan sekitarnya diketuai oleh Dato’ Gajah Iman Rasu Abdul Salam atau Tok Gajah.

Berdasarkan cerita orang tua-tua bahawa asal usul perkataan "Jerantut" adalah berasal dari perkataan "Jeram" dan "Tut" yang diambil daripada nama orang "Awang Tut" yang sering mengail di kawasan jeram di tengah-tengah Sungai Pahang. Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" Pekan ini dipanggil "Simpang Empat" iaitu satu tempat dimana Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalanraya dari Kuala Lipis ke Kuantan. Mulai tahun 1914 nama "Simpang 4" ditukar kepada "Jerantut".

Daerah Jerantut merupakan daerah yang terbesar dalam Negeri Pahang Darul Makmur. Keluasannya ialah 2,900 batu persegi (755,771.93 Hektar). Disempadani oleh Negeri Kelantan dan Terengganu di Utara, Daerah Temerloh dan Maran di Selatan, Daerah Lipis dan Raub di Barat dan Daerah Kuantan dan Negeri Terengganu di Timur. Ia mempunyai 10 buah mukim yang terdiri daripada 295 buah kampung yang ditadbirkan di bawah 58 JKKK. Sebahagian daripada kawasan-kawasan FELDA dan Kampung Tradisional adalah termasuk dalam kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) iaitu kawasan-kawasan seberang Sungai Pahang dan Sungai Tembeling (daripada sempadan Temerloh/Mukim Burau hingga ke Kg. Merting di Mukim Tembeling).


Galeri Sekitar Jerantut

Taman Negara
              
Gua Kota Gelanggi



 Gunung Tahan



Air Terjun



Kenong Rimba Park



DAERAH BENTONG

Bentong merupakan salah satu daerah dalam Pahang. Daerah ini merangkumi kawasan seluas 1,831 km². Kedudukannya ke arah timur laut Kuala Lumpur, di sebelah bertentangan Banjaran Titiwangsa. Terletak bersebelahan dengan Daerah Gombak, Selangor, Bentong merupakan bandar yang semakin pesat membangun.Jalan Bentong merupakan laluan utama ke Pantai Timur iaitu Kelantan. Bentong akan mempunyai komuter yang akan memhubungkannya dengan Kuala Lumpur. 

Di Bentong terdapat kawasan terkenal seperti Genting Highland danBukit Tinggi. Sejarah nama Bentong adalah daripada "banyak untung" kerana pada masa dahulu Bentong mempunyai lombong bijih timah. Ayat tersebut dikatakan oleh orang Cina yang melombong, sehingga akhirnya ia menjadi "Bentong".

Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut. Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung” (ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung” menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung” bertukar menjadi Bentong.

Galeri Sekitar Bentong





Genting Highland - Taman Tema terbesar di Malaysia dan terkenal di Asia Tenggara



Bukit Tinggi



Fraser Hill



Air Terjun Chamang


Janda Baik

DAERAH ROMPIN

Rompin adalah sebuah daerah yang teletak di bahagian selatan negeri Pahang. Ia adalah daerah yang bersempadan dengan negeri Johor. Antara lokasi berdekatan ialah Endau, Mersing , Nenasi dan Kuantan.

Dikatakan pada satu ketika dahulu di daerah ini terdapat sebatang Pokok Ru. Pokok ru ini unik berbanding dengan pokok-pokok ru lain yang hidup melata disini kerana bentuknya yang ramping.Mengikut cerita ukurlilit pokok tersebut boleh memuat seramai 40 orang untuk makan bersama. Pada awalnya orang memanggil nama tempat ini sebagai rhu ramping, dan lama-kelamaan nama tempat ini berubah menjadi rumpin dan rompin.

Rompin terletak di tepi pantai , menghadap Laut China Selatan yang terbentang luas. OIeh itu Rompin merupakan destinasi memancing yang terkenal. Ini adalah kerana Rompin adalah satu kawasan perairan yang memiliki banyak lubuk dan kawasan tumpuan ikan yang amat popular. Antara spesis ikan yang amat popular ialah ikan layaran , sejenis hidupan yang sering menjadi tumpuan kaki pancing kerana kesukaran untuk mendapatkannya.Oleh kerana Rompin adalah satu destinasi ikan layaran, jadi setiap tahun acara billfish dan pertandingan memancing sering diadakan di daerah ini.

Selain daripada itu, Rompin juga amat terkenal dengan kawasan yang banyak mempunyai spesies udang galah kerana Rompin adalah habitatnya. Bagi penggemar-penggemar makanan sungai dan laut terutamanya penggemar udang galah, anda telah memilih satu lokasi yang benar-benar sesuai untuk merasai keenakan masakan udang galah disini. Terdapat banyak kedai-kedai makan yang menyajikan hidangan masakan udang galah dengan pelbagai jenis masakan. Udang galah di Rompin biasanya ditangkap di kawasan Sungai Rompin dan tempat pemasarannya ialah di kawasan kampung Leban Chondong, Rompin.


Taman Negara Endau-Rompin terletak di daerah Rompin iaitu di hulu Sungai Endau dan Sungai Rompin. Terdapat pelbagai flora dan fauna di Taman Negara Endau-Rompin ini. Untuk pergi ke kawasan taman negeri ini, bagi yang melalui jalan dari bandar rompin, mereka haruslah melalui jalan ke mersing Johor dan memasuki simpang sepayang rompin. Jaraknya dari simpang sepayang adalah dalam lingkungan 40km.

Galeri Sekitar Rompin






Pulau Tioman yang merupakan pulau peranginan yang terkenal di seluruh dunia




Pantai Hiburan di pinggir bandar Rompin




Taman Negara Endau Rompin





DAERAH TEMERLOH

Daerah Temerloh, sebelum ketibaan peneroka dari luar merupakan kawasan yang di diami oleh kelompok- kelompok Orang Asli dengan beberapa penempatan kaum asal ini masih wujud sehingga kini. Sekitartahun 1620an, adalah dipercayai kumpulan keluarga bangsawan danpenduduk dari Kerajaan Acheh yang sedang menakluk Negeri Pahang telah meneroka kawasan di pinggir Hulu Sungai Pahang. Beberapa penempatan baru telah dibuka oleh kumpulan masyarakat Minangkabau ini seperti Chenor, Kuala Bera, Kuala Triang, Kg Mengkarak dan Lebak. 

     Apabila kelompok pendakwah dan peneroka ini tiba di sebatang muara anak sungai yang didiamai oleh Orang Asli, mereka telah melihat terdapatkumpulan Orang Asli yang leka tidur di tebing muara anak sungai tersebut. Tidur dalam istilah tempatan di sebut 'MERELOH'  dan mengambil kejadian tersebut, kumpulan peneroka berkenaan menamakan anak sunagi tersebut dan kawasan penempatan baru di sekitarnya sebagai MERELOH. Kumpulan peneroka ini seterusnya membuka penempatan baru di sekitar Kuala Sungai Semantan sekarang.

        Peneroka dan pembukaan penempatan di Kuala Sungai Semantan oleh masyarakat Minangkabau ini telah menarik minat lebih ramai masyarakat lain datang. Selain bermastautin, masyarakat juga telah membuka pusat pengajian Agama Islam dan pusat peniagaan yang penting di Kuala Sungai Semantan. Adalah dipercayai, selain dari penduduk sekitar, peniaga dari Ulu Pahang, Kelantan, Raub, Bentong serta dari penempatan- penempatan hilir Sungai pahang telah menjadikan Kuala Sunagai semantan sebagai pusat perniadaan yang penting. Rentetan dari itu, adalah dipercayai sebutan TEMERLOH mula digunakan oleh peniga dan penduduk yang merujuk kepada sebutan MERELOH.

Perkembangan penempatan dan pusat perniagaan di TEMERLOH semakin berkembang dengan ketibaan lebih ramai penduduk di sekitar Nusantara. Adalah dipercayai urusan perniagaan ketika itu telah menggunakan matawang tempatan sendiri yang di beri nama NUKUD SEMANTAN. Kemajuan penempatan ini juga dipengaruhi oleh kemakmuran dan struktur pemerintahan beraja yang diamalkan di Negeri Pahang. Jawatan-jawatan pemimpin masyarakat seperti Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Orang Kaya Berlapan, Orang Kaya Enam Belas dan Penghulu adalah wakil kepada istitusi pemerintahan Beraja di sekitar Temerloh. 

Peneroka penempatan telah dilakukan oleh penduduk dengan membuka penempatan baru di sepanjang Sungai Semantan seperti di Sonsang, Pasir Rawa, Lubuk Terua sehingga ke sempadan Bentong. Manakala penempatan baru di Sepanjang Sungai Pahang seperti Kg Bangau, Kg Sanggang, Kg Berhala Gantang, Kg Gunung Senyum, Kuala Krau sehingga ke Lubuk Perlang.


Ketibaan Inggeris di Negeri Pahang telah mengubah lanskap penempatan dan kemajuan Daerah Temerloh. Melalui sistem pentadbiran Residen Inggeris dan penggunaan Sistem Torrens dalam pentadbiran tanah, daerah Temerloh telah diwartakan dan Pentadbiran Daerah dan Tanah dipecah mengikut Mukim-Mukim. walaupun pihak Inggeris mendapat tentangan dari masyarakat tempatan namun Sistem Pentadbiran yang diperkenalkan oleh mereka bertambah dan terus digunakan sehingga sekarang.

Galeri Sekitar Temerloh







Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah



Pusat Pemulihan Hidupan Liar Rusa dan Seldang di Felda Jenderak, Kuala Krau



Ternakan ikan sungai sangkar di sepanjang Sungai Pahang



Taman Tema Air Kubang Gajah